Sunday, February 20, 2011

SEJARAH HAJI NAWAWI BIN ABDULLAH


Low Kim Swee atau nama Islamnya Haji Nawawi Bin Abdullah dilahirkan pada 8.8.1947 di sebuah daerah di Kedah iaitu Changlun di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Belukar mukim Temin. Beliau dilahrikan dalam keluarga Siam dan Cina. Bapanya merupakan saudagar cina yang datang dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu untuk berdagang barang dagangan dari China pada ketika itu. Ibunya beragama Buddha dan berketurunan Siam. Beliau merupakan anak kedua daripada 3 orang adik beradik.
Keluarganya hidup dalam keadaan yang sederhana, disebabkan pada keadaan dan masa itu Tanah Melayu atau sekarang dikenali Malaysia belum lagi mencapai kemajuan serta kemodenan seperti yang dikecapi sekarang.

Beliau telah dibesarkan dalam sebuah kampung iaitu di Kampung Belukar, Changlun. Penduduk kampung tersebut majoritinya ialah kaum Melayu. Masa kecilnya banyak dihabiskan bergaul dan bermain dengan kaum Melayu Islam. Beliau menceritakan, dalam usianya 10 ke 11 tahun keatas beliau semakin rapat dengan rakan-rakan Melayu Islamnya seperti ‘isi dan kuku’ hubungan antara mereka.
Apabila seringkali beliau bergaul dengan rakan-rakannya yang beragama Islam tersebut maka, beliau sering kali tertanya-tanya di dalam hatinya, mengapa rakan-rakannya kena solat?, mengapa rakan-rakannya berpuasa pada bulan Ramadhan?. Daripada situ, beliau sedikit-sedikit menyiasat dan menyelidik, di samping bertanya kepada rakan-rakannya yang beragama Islam tersebut serta bertanya kepada orang yang lebih tua daripadanya.

Pada tahun 1959, bapanya meninggal dunia. Beliau serta abang dan adiknya disara pula oleh ibunya yang beragama Buddha, Siam. Abangnya pada ketika itu 18 tahun sudah memeluk Islam secara diam-diam yang akhirnya diketahui oleh ibunya. Setelah beliau berusia dalam lingkungan 16 tahun, beliau telah keluar merantau. Beliau kemudiannya telah menumpang menetap di sebuah kampung Melayu yang lain. Beliau seringkali terdengar  orang-orang kampung di situ berbicara dan berbincang soal agama Islam. Hatinya tiba-tiba tertarik kepada Islam apabila beliau melihat cara kehidupan Islam di situ. Orang-orang Islam di kampung tersebut menunjukkan teladan dan akhlak yang baik serta berdisiplin dalam menguruskan masa lalu menarik minat beliau untuk mengenali secara lebih mendalam kepada Islam.

Pada tahun sekitar 1961-1962, beliau sekali lagi merantau. Kali ini beliau berhijrah ke pekan Kota Setar atau Alor Setar. Beliau telah mengambil upah bekerja di kedai-kedai makan di sekitar bandar Kota Setar terbabit. Seterusnya, pada tahun 1963 beliau merantau sekali lagi, kali ini beliau merantau ke Kampung Alor Malai yang sekarang ini terletak di Jalan Langgar, Alor Setar. Beliau kemudiannya telah menumpang sebuah rumah rakannya yang beragama Islam. Daripada situ, kawannya sedikit sebanyak menerangkan secara terperinci tentang agama Islam kepada beliau. Beliau juga pada ketika itu sering bertanya kepada abang beliau berkaitan agama Islam, yang pada ketika itu abang beliau sudah memeluk agama Islam.

Ketika umurnya 17 tahun 2 bulan, beliau telah diberikan hidayah oleh Allah SWT. Beliau telah melafazkan syahadah. Walaubagaimanapun, beliau terpaksa meminta kebenaran daripada penjaganya ketika itu iaitu ibunya. Hal ini kerana usia beliau belum lagi mencecah 18 tahun. Lalu beliau terpaksa meminta ibunya supaya menandatangani satu surat sumpah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam pada ketika itu, kerana perlembagaan pada ketika itu menyatakan bahawa individu yang berkehendakan memeluk agama Islam perlu meminta keizinan daripada penjaganya sekiranya individu terbabit masih belum cukup umur iaitu berumur 18 tahun dan kebawah.

Beliau pada ketika itu agak takut untuk memaklumkan kepada ibunya. Beliau memberanikan diri, ibunya pada awalnya agak marah, namun setelah beliau menerangkan secara terperinci tentang Islam barulah ibunya rela menandatangani surat sumpah tersebut. Ibunya ada memaklumkan padanya, “Ikut suka la nak masuk agama apa,lagi pun kita bukan ada pegangan agama”. Setelah itu, beliau kemudiannya telah menghuni sebuah rumah iaitu ‘Rumah Saudara Baru’ di bawah pengendalian Pejabat Zakat Negeri Kedah pada ketika itu yang sekarang ini dikenali sebagai PERKIM.

Di Rumah Saudara Baru tersebut, beliau telah mendalami ilmu-ilmu agama yang diajarkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Kedah dan ustaz-ustaz. Selama 9 bulan beliau menetap di situ, pelbagai ilmu yang beliau pelajari dalam Islam, beliau belajar cara bersolat, berpuasa, rukun-rukun iman dan Islam dan sebagainya. Apabila beliau sudah mahir dalam agama Islam, beliau telah dilantik menjadi imam ketika solat fardhu dan juga berperanan dalam menyampaikan dakwah dan mengajar para saudara Islam yang pada ketika itu baru mengikuti pembelajaran di situ.

Setelah hamper 9 bulan mendalami ilmu agama Islam di Rumah Saudara Baru tersebut, beliau kemudiannya menyewa sebuah rumah di sekitar kawasan Alor Malai. Beliau kemudiannya mengambil upah sebagai buruh binaan dan menyapu cat bangunan. Beliau masih lagi meneruskan pembelajaran beliau mendalami ilmu agama Islam di pejabat PERKIM Alor Setar.

Pada tanggal 1968, ketika beliau berumur dalam lingkungan 21 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan isterinya iaitu Nazilah Binti Mustapha. Beliau dan isterinya kemudiannya menetap di sebuah pondok di Alor Malai. Pada ketika itu, beliau telah diberikan tanggungjawab supaya menjaga sebuah masjid, iaitu Masjid Alor Malai. Beliau kemudiannya, menjalani temuduga sebagai kontraktor kelas F dan berjaya dalam sesi temuduga terbabit dan ditawarkan sijil kontraktor kelas F.

Beliau kemudiannya berpindah dan menetap di Kampung Borhan sehingga sekarang. Beliau pada ketika itu mencari rezeki dgn mengambil kontrak membaiki,membina dan mengecat rumah dan bangunan. Beliau kemudiannya telah menjalankan ibadah Haji dan Umrah bersama-sama isteri pada tahun 1985.
Hasil perkahwinan beliau dengan isterinya, pasangan ini telah dikurniakn 6 orang cahaya mata. Masing-masing bekerja dengan sector kerajaan dan swasta melainkan anak bongsunya yang masih lagi melanjutkan pelajaran di IPTA di Malaysia.

Kini beliau telah menjangkau usia 63 tahun, beliau masih lagi kuat dalam menjalankan kerja-kerja kontraknya walaupun kesemua anaknya sudah bekerja dan telah bekeluarga. Beliau menghabiskan kebanyakkan waktunya di surau yang terdapat di dalam kampung beliau. Selain itu, beliau terlibat secara aktif terhadap segala aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak surau antaranya ketika musim Hari Raya Korban, Hari Raya Aidilfitri, kenduri kendara,  gotong-royong dan sebagainya. Sementara itu, kariah surau telah mengamanahkan beliau sebagai ahli jawatan kuasa surau terbabit dan bertanggungjawab dalam menjaga infrastuktur surau terbabit.

No comments:

Post a Comment