Sunday, February 20, 2011

MUALLAF MENURUT SISI PANDANGAN FIQH ZAKAT


Imam Al-Tabari di dalam menafsirkan ayat 60 Surah Al-Taubah berkata bahawa Allah SWT menjadikan sedekah iaitu zakat dalam dua maksud iaitu, pertama bagi menampung keperluan orang-orang Islam dan keduanya bagi membantu Islam dan memperkuatkannya. Dalam usaha membantu Islam dan memperkuatkannya zakat diberikan samada kepada golongan fakir miskin dan kaya kerana ia diberikan bukan atas dasar keperluan kepada zakat iaitu seperti orang fakir dan miskin memerlukannya tetapi ia diberikan seperti kepada orang yang berjihad di jalan Allah.

Berkenaan dengan makna Muallaf Qulubuhum pula, Hassan Ayub (1973) berpendapat ia adalah merujuk kepada golongan yang dijinakkan hati samadan kafir atau Islam. Bagi orang kafir zakat diberikan bukan kerana mereka fakir tetapi tujuan diberikan zakat kepada mereka adalah supaya mereka dapat menerima Islam dan mengelakkan kemudaratan yang dilakukan mereka terhadap Islam. Manakala bagi mereka yang memeluk Islam zakat diberikan bertujuan untuk kebaikan mereka yakni memperkukuhkan pegangan Islam mereka

Muhammad ’Ali Al-Sobuni (1997) pula berpendapat bahawa Muallaf Qulubuhum ialah mereka yang diberikan zakat oleh Rasulullah SAW dengan tujuan supaya menjinakkan hati mereka untuk masuk Islam atau supaya menetapkan diri mereka dalam Islam. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Sofwan bin Umaiyah bahawa dia berkata: Nabi SAW telah memberikanku zakat, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Baginda berterusan memberikanku zakat sehingga dia menjadi orang yang paling aku kasihi”

Muhammad ’Uqlah (1985) berpendapat bahawa golongan ini diberikan zakat adalah demi kemaslahatan dakwah dan negara Islam. Ini kerana dengannya dapat meningkatkan lagi kekuatan Islam dan mendapat sokongan dari orang Islam dan bukan Islam seterusnya mampu melemahkan musuh Islam
Secara keseluruhannya, asnaf Muallaf Qulubuhum terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

1.      1.Golongan yang diberikan zakat oleh Nabi SAW bagi tujuan menjinakkan hati mereka agar mereka dan kaum mereka memeluk Islam.

2.     2. Golongan yang sudah masuk Islam, tetapi masih lemah Islamnya, oleh itu diberikan zakat bagi tujuan menguatkan Islam mereka.

3.     3. Golongan kafir yang diberikan zakat bagi mengelakkan kejahatan mereka terhadap Islam

No comments:

Post a Comment